Nota:
Setiap nama, No Akaun & No Tel yang kami masukkan disini akan berada di google setelah 48jam artikel diterbitkan.
Sesiapa yang berurusan secara online anda digalakkan membuat semakan (Search) terlebih dahulu di google atau di blog ini, jika ada yang meragukan sila hentikan urusan serta merta.
Untuk semakan no. akaun bank, sila masukan no. akaun dalam kotak search

Fail AMLATFA: Ambil Deposit Secara Haram - Dua Beranak Didenda & Penjara


Seorang pengarah syarikat jualan langsung didenda RM5.45 juta manakala anak perempuannya didenda RM1 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas 27 pertuduhan mengambil deposit secara haram daripada orang ramai serta terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram antara 2002 dan 2010.

Shamsudin Mahadi, 49, turut dihukum penjara berjumlah 39 tahun manakala Shafila Shamsudin, 26, selama dua tahun enam bulan.

Bagaimanapun, Hakim Salawati Djambari memerintahkan hukuman mereka berjalan serentak, yang menyaksikan Shamsudin perlu menjalani hukuman penjara lima tahun manakala anaknya selama dua tahun.

Salawati membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan kedua-dua tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah.

Mahkamah turut memerintahkan supaya wang tertuduh yang dibeku dilucut hak berdasarkan peruntukan Seksyen 55(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

Salawati bagaimanapun membenarkan permohonan peguam George Bernard untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dan menetapkan ikat jamin sebanyak RM60,000 terhadap Shamsudin dan RM30,000 bagi Shafila.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua Pengarah Urusan Dencomm Sales and Services itu didakwa melakukan kesalahan itu di A16 dan A17, Kedai Pusat Bandar Penawar dekat sini antara Februari 2002 dan April 2010.

Bagi kesalahan menerima deposit haram, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) 1989 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan pengubahan wang haram, mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1) AMLA 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman dan Pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) Fahmi Abdul Moin.

Kedua-dua beranak itu membayar wang jaminan.  - Bernama


Written by Dari Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment