Nota:
Setiap nama, No Akaun & No Tel yang kami masukkan disini akan berada di google setelah 48jam artikel diterbitkan.
Sesiapa yang berurusan secara online anda digalakkan membuat semakan (Search) terlebih dahulu di google atau di blog ini, jika ada yang meragukan sila hentikan urusan serta merta.
Untuk semakan no. akaun bank, sila masukan no. akaun dalam kotak search

Daftar RM2 - Hak Terbela


Daftar RM2 - Hak Terbela


Kawannya liat membayar hutang dan hilang entah ke mana menyebabkan dia menjadi sasaran bank sehingga kehidupannya menjadi tidak tenang kerana selain hutang sendiri, dipaksa pula menanggung hutang orang lain.

Saya secara berseloroh meminta dia mendapatkan nasihat profesional daripada peguam bagaimana untuk mencari penyelesaian kesusahannya.

Saya tidak menyangka dia mengambil serius cadangan itu dengan mengatakan ia sesuatu yang mustahil kerana bayaran peguam mahal, malah menganggap keadilan hanya untuk orang kaya disebabkan mereka mampu menggunakan khidmat guaman terbaik mewakili mereka di mahkamah.

Mungkin rakan saya itu tidak tahu bahawa dia boleh mendapatkan khidmat guaman dengan hanya membayar RM2 sama ada dalam bentuk nasihat berkaitan perundangan sehingga mewakilinya di mahkamah.

Hanya membayar yuran pendaftaran RM2 di Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dengan syarat pendapatan tahunan kurang RM25,000 dan pemohon akan dibantu mendapatkan keadilan serta hak mereka mengikut undang-undang.

Peranan dan fungsi JBG merangkumi memberi nasihat dalam semua perkara undang-undang sama ada sivil atau syariah, mewakili atau menyediakan khidmat peguam dalam perbicaraan di mahkamah di Malaysia, menjalankan proses pengantaraan bagi tujuan menyelesaikan pertikaian secara damai dan sukarela serta memberi ceramah dan penerangan kepada orang awam mengenai hak mereka di bawah Akta Bantuan Guaman 1971.

Sebelum ini JBG dikenali sebagai Biro Bantuan Guaman (BBG), tetapi namanya ditukar melalui penjenamaan semula bermula 16 Januari 2010 dengan matlamat membantu orang ramai mendapatkan hak mereka mengikut undang-undang walaupun tidak mampu mengeluarkan kos besar untuk khidmat peguam swasta.

Timbalan Ketua Pengarah (Sivil) JBG, Wan Jeffry Kassim berkata, JBG boleh dianggap firma guaman terbesar kerana mempunyai 22 cawangan di seluruh negara, tetapi mengenakan kos paling murah iaitu yuran pendaftaran RM2 manakala kerajaan menanggung kos lain.

Bidang kuasa JBG pula merangkumi kes kekeluargaan sivil dan syariah, kes sivil dan kes jenayah.

“Contoh kes sivil yang berada di bawah bidang kuasa JBG seperti pampasan pekerja, penanaman padi, harta pusaka kecil, tuntutan kemalangan jalan raya, pinjaman wang, sewa beli, sewaan, surat kuasa mentadbir, permohonan anak angkat dan tuntutan pengguna.

“Bagi kes jenayah, bidang kuasa kami merangkumi memohon meringankan hukuman bagi mereka yang mengaku bersalah dalam semua kes di mahkamah sivil, prosiding jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan prosiding jenayah di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

Bidang kes kekeluargaan sivil dan syariah pula merangkumi tuntutan nafkah, perubahan perintah nafkah, menguatkuasa perintah nafkah, tuntutan cerai, hak penjagaan, harta sepencarian atau harta perkahwinan dan mutaah.

Beliau berkata, selain mereka yang berpendapatan tahunan tidak melebihi RM25,000 setahun, individu yang mempunyai pendapatan antara RM25,000 hingga RM30,000 setahun juga layak mendapatkan khidmat JBG.

“Sekiranya mereka berpendapatan di bawah RM30,000 setahun, mereka perlu membayar RM300 dan RM2 manakala kos lain ditanggung kerajaan.

“Bagi mereka yang mempunyai pendapatan tahunan lebih RM30,000 masih boleh mendapatkan khidmat JBG dengan kelulusan khas menteri yang dibuat melalui Ketua Pengarah Bantuan Guaman. Umpamanya, walaupun berpendapatan tinggi, pemohon mempunyai tanggungan yang ramai atau memerlukan wang yang banyak untuk merawat penyakit.

“Kelonggaran tetap diberikan dengan kelulusan Menteri kerana kita tidak mahu mereka gagal mendapat keadilan atau kesusahan,” katanya.

Apa pula akan terjadi bila pihak pengadu memohon bantuan JBG untuk mewakilinya di mahkamah dan pada masa sama, pihak diadu juga merujuk kesnya kepada JBG. Menjelaskan perkara itu, Wan Jeffry berkata, jabatan tidak akan mewakili mana-mana pihak dalam prosiding berkenaan sebaliknya melantik panel peguam yang berdaftar dengan JBG bagi mengendalikannya.

“Walaupun menggunakan peguam panel, pemohon tidak perlu membuat sebarang bayaran kerana ia ditanggung oleh JBG,” katanya.

Wan Jeffry berkata, sebagai usaha memberi maklumat kepada orang ramai mengenai hak mereka dan khidmat yang disediakan JBG, pihaknya turut menganjurkan Klinik Guaman 1Malaysia secara berkala di kawasan tertentu terutama lokasi yang jauh daripada cawangan JBG negeri.

“Kami akan menghebahkan penganjuran klinik guaman itu menerusi siaran radio di kawasan berkenaan, selain penyebaran risalah serta kain rentang kerana kita mahu semua orang walaupun di tempat pedalaman mempunyai maklumat secukupnya terhadap hak mereka di sisi undang-undang,” katanya.

Walaupun penubuhan JBG bermatlamat membantu orang kurang berkeupayaan dari segi kewangan mendapat khidmat guaman, masih ada ‘suara sinis’ terutama ketika dikenali sebagai BBG dulu kononnya pegawai lewat menyelesaikan satu kes yang dirujuk sehingga kata-kata ‘mentang-mentang hanya bayar RM2, kerja pun setaraf RM2 saja’.

Menyentuh mengenai tanggapan itu, Timbalan Ketua Pengarah (Syariah) JBG, Mohd Nadzri Abdul Rahman berkata, ia sama sekali tidak benar berkemungkinan berlaku disebabkan kurangnya kefahaman orang ramai mengenai proses tatacara undang-undang.

Beliau menegaskan walaupun orang ramai yang mahu mendapatkan khidmat guaman di JBG hanya perlu membayar RM2 saja, pihaknya sentiasa berusaha menyelesaikan semua kes yang dirujuk.

“Kadang-kadang kelewatan itu berpunca daripada pengadu yang gagal menyediakan dokumen selengkapnya, penangguhan mahkamah atau peguam yang mewakili orang yang diadu memohon penangguhan.

“Pegawai JBG terikat dengan peraturan kerja dan mustahil bagi mereka mahu melewat-lewatkan penyelesaian sesuatu kes,” katanya.

Mohd Nadzri berkata, ada kalanya, tanggapan negatif itu ditimbulkan orang tidak pernah mendapatkan khidmat JBG, sebaliknya mendengar kata-kata pihak lain.

“Kami sudah menyelesaikan banyak kes. Malah, sejak ditubuhkan pada 1970, sebanyak 456,350 kes termasuk syariah dan sivil diselesaikan,” katanya.

Menurutnya, dalam prosiding mahkamah seperti di mahkamah syariah, sama ada plaintif atau defendan masing-masing hendak menang kes, tetapi realitinya pasti akan ada satu pihak yang kalah.

“Perkara sama berlaku jika mengambil peguam swasta, pasti akan ada pihak menang dan kalah. Tetapi kita akan tetap berusaha untuk mendapatkan keputusan terbaik kepada pihak yang melantik kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment